Kolum

‘Cerita tentang dua kelab yang saya sayang, Liverpool dan Leeds United’ – Dominic Matteo

Dominic Matteo, dilahirkan pada 28 April 1974, di sebuah bandar pasar dan turut dikenali sebagai kawasan diraja, Dumfries, Scotland telah membuat debut pertamanya bersama dengan kelab gergasi eropah, Liverpool pada umurnya mencecah 19 tahun. Seorang anak muda yang berusaha gigih untuk sampai ke tahap ini.

Pada waktu kecil, ayahnya mempunyai impian untuk melihat beliau bermain seperti Cesare Maldini. Impian tersebut terus dipasang ke fikiran anaknya untuk berusaha bagi mendapatkan apa yang diimpikan. 

Bermain sebagai seorang pertahanan tengah dan turut mempunyai kelayakan untuk bermain sebagai pemain tengah. Impian ayahnya akhir terlaksana apabila Dominic memulakan debut pertama beliau di Liga Perdana Inggeris pada umurnya 19 tahun apabila masuk menggantikan John Barnes yang cedera di bahagian pertahanan kiri ketika seri 1-1 dengan Manchester City. 

“Untuk bermain dengan Liverpool adalah sesuatu yang diimpikan semua orang. Saya bersyukur dapat bermain untuk Liverpool ini.

Dominic telah membuat 127 penampilan bersama Liverpool sejak itu dengan dua rekod jaringan daripada beliau. Pertama pada perlawanan dengan Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kedua adalah Huddersfield Town dalam aksi Piala FA.

Mandatory Credit: Clive Brunskill /Allsport

“Jika anda bekerja di sini, atau tinggal di sini [Liverpool]. Anda akan dapat melihat betapa besarnya kelab ini kepada para peminat mereka. 

“Anda dapat merasa betapa tingginya sayang mereka pada kelab ini dan untuk menjadi sebahagian daripada mereka adalah sesuatu yang menakjubkan.” Katanya ketika ditemubual di Hotel Pavillion.

Selepas itu Dominic berhijrah ke Sunderland secara pinjaman sebelum membuat keputusan untuk menyertai Leeds United pada Ogos tahun 2000 dan telah memberikan segalanya untuk dibanggakan kepada para penyokong Leeds.

Tetapi beliau tidak pernah melupakan Liverpool dan ianya sentiasa berada di hati beliau.

“Secara jujurnya, saya sayangkan kedua-dua kelab ini.” Kata Dominic sebelum menyambung bagaimana beliau merasa bangga dengan para penyokong Leeds United yang sentiasa mengingati gol beliau pada perlawanan dengan AC Milan di San Siro yang membawa pasukannya ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

“Setiap kali saya ke Elland Road, masih kedengaran para penyokong menyanyikan lagu tentang gol itu. Saya merasa bangga.

“Para peminat memahami saya dan saya memahami para peminat. Ia adalah kunci kepada kekuatan kami iaitu sentiasa berada di dalam satu kumpulan. 

“Tetapi gol tersebut hadir disebabkan dua perkara, pertama adalah keluarga saya melihat saya bermain di kaca TV. Sebelum ini amat sukar untuk mereka melihat saya bermain kerana tiada banyak siaran ketika itu.

Mandatory Credit: Laurence Griffiths /Allsport

“Kedua adalah disebabkan para peminat yang hadir ke San Siro bersama kami. Saya katakan kepada anda, kedua-dua inilah kunci yang menaikkan saya.” katanya.

Ketika bermain bersama Leeds, Dominic hadir dengan pelbagai persoalan apabila disahkan cedera dan memerlukan sebulan untuk pulih. 

Tetapi membayar kepercayaan yang diberikan oleh peminat, pengurusan dan rakan sepasukan dengan gol yang membawa mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Setahun selepas itu, beliau menyarung lilitan kapten selepas Rio Ferdinand membuat perpindahan ke Manchester United.

Di akhir perbualan, beliau memberi kata-kata semangat kepada para anak muda di Malaysia agar sentiasa berusaha lebih dan jangan pernah putus asa.

“Saya tidak akan berada di sini jika saya tidak berusaha dengan lebih. Saya berlatih setiap hari tanpa lelah, saya pasangkan impian saya dan akhir semuanya terbayar.

“Saya tidak mempunyai rahsia, saya hanya berlatih dengan gigih setiap hari dan sentiasa memberi peluang kepada diri sendiri untuk berusaha lebih.

“Jika anda mahu berjaya dalam sukan ini, dalam kerja ini. Tiada jalan pintas, biarpun anda mempunyai bakat seperti Messi atau Ronaldo. 

“Tetapi perlu diingat, mereka berdua juga berusaha gigih untuk sampai ke sini. Jadi teruskan berlatih, berlatih, berlatih dan berlatih”

Dominic membuat penampilan terakhir beliau pada November 2007 bersama Stoke City selepas keluar daripada Leeds United. 

Sekarang beliau sedang dalam sesi pembelajaran untuk menjadi jurulatih dengan menyertai salah satu kursus yang dikelolakan oleh UEFA.