Liga Super Malaysia Berita

Kedah mahu tiga mata penuh

Kedah berazam mahu mencatat kemenangan apabila berdepan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, esok.

Selepas pasukan Lang Merah gagal mengutip mata penuh dalam dua perlawanan sebelum ini, jurulatih Kedah, Aidil Shahrin Sahak mahu anak buahnya bangkit bagi meneruskan perjuangan untuk merapatkan jurang dengan pendahulu Liga Super.

“Sejujur-jujurnya saya tidak lena tidur apabila skuad Kedah tewas kepada Kuala Lumpur kerana pada perlawanan berkenaan saya melihat kami tidak patut kalah.

“Ini peluang terbaik untuk Kedah memburu kemenangan selepas kerugian mata dan berharap kelebihan beraksi di laman sendiri tidak akan disia-siakan.”

Tambah beliau lagi, kemenangan ke atas PKNS FC baru-baru ini dalam saingan Piala FA nyata memberi suntikan semangat kepada anak buahnya.

“Sekalipun tahu kita memerlukan rehat yang cukup, namun itu tidak dapat mengubah apa-apa kerana tempoh perlawanan adalah dekat dan apa yang penting adalah fokus untuk melengkapkan pasukan pada perlawanan kali ini.”

Kedah sebelum ini gagal mengutip tiga mata penuh apabila hanya mencatat keputusan tewas 0-1 kepada Melaka United dan seri 1-1 dengan Selangor.