Luar Negara Berita

Arsenal, Valencia masih berbaki 90 minit – Emery

Arsenal berjaya menundukkan Valencia, 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama awal pagi tadi, namun bagi pengendali Gunners peluang pasukannya untuk mara ke final Liga Europa masih ’50-50′.

Pada perlawanan terbabit, Valencia mendahului dengan jaringan Mouctar Diakhaby bagi meletakkan kelab daripada Sepanyol itu didepan.

Arsenal bangkit dengan dua jaringan penting daripada penyerang berbisa Arsenal, Alexandre Lacazette selang lapan minit pada babak pertama sebelum Pierre-Emerick Aubameyang menambah luka Valencia dengan jaringan lewat perlawanan bagi memberi kedudukan selesa buat Arsenal menjelang aksi timbal balik di Mestalla pada 9 Mei nanti.

Namun bagi pengendali Gunners, Emery percaya peluang untuk Valencia meranapkan impian pasukannya beraksi di final masih terbuka dan beliau mahu pemainnya agar kekal fokus.

Tambah beliau lagi, rekod buruk Arsenal di tempat lawan menjadikan persaingan mereka masih belum berakhir dan beliau mahu menangani masalah tersebut.

“Ia adalah keputusan yang bagus di laman sendiri, tetapi perlawanan kedua akan menjadi sangat sukar dan mungkin berbeza. Saya menganggap kedua-dua pasukan mempunyai peluang 50-50,” kata Emery.

“Kami boleh berbangga dengan pemain. Ia bukanlah mudah untuk bertenang dan kembali bangkit dengan keputusan menentang pasukan ini.”

Arsenal perlu memenangi perlawanan ini jika mereka mahu layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan.

“Kami mahukan kemenangan di Liga Europa bukan saja bagi memastikan tempat ke Liga Juara-Juara tetapi juga mahukan trofi ini,” kata Lacazette.

“Kami mahu menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana dan jika kami boleh ke Baku (final Liga Europa), ia akan menjadi istimewa.”