Malaysia Berita

WFS Asia adalah ilham daripada TMJ – Hamidin

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan bahawa kejayaan Malaysia selaku tuan rumah Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFSA) adalah ilham daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Tunku Ismail yang cetuskan idea ini dari awal supaya WFS diadakan di sini dan apa yang saya lihat ia berjaya serta berharap Kuala Lumpur akan menjadi pusat bola sepak di mata dunia,” kata Hamidin ketika ditemui di WFS Asia, di sini, hari ini.

“Sebenarnya banyak perkara yang sudah dibuat Tunku Ismail termasuk pensturukturan semula FAM dan banyak lagi. Saya kira WFS ini salah satu daripada ilham beliau dan ia menjadi kebanggan kita.

“Saya juga sudah berbincang dengan pihak penganjur untuk mencadangkan WFS Asia sekali lagi diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.”

Mengulas lanjut, Hamidin mengakui sangat berpuas hati dengan sambutan yang tinggi terhadap WFS Asia yang buat julung kalinya diadakan di benua ini.

Beliau juga menjelaskan bahawa WFSA membawa kesan positif kepada landksap bolasepak Malaysia.

“Kalau kita lihat WFS membincangkan banyak perkara termasuk dari segi sains sukan, stadium, keselamatan dan banyak lagi mengenai bola sepak moden. Sudah tentu kita dapat kelebihan buat semua pemegang taruh dan ahli gabungan FAM.

“Ahli gabungan dan kelab diberi jemputan istimewa walaupun pihak lain dikenakan bayaran. Malah, mereka mendapatkan input bermanfaat selain dapat membentuk hubungan dengan pihak luar.

“Semua pemegang taruh FAM dapat belajar bagaimana liga luar terutama Bundesliga dan La Liga beroperasi, yang mana ia baik untuk kita pelajari,” katanya.