Liga Super Malaysia Berita

Tok Gajah tak sabar jumpa Harimau Selatan

Aksi perlawanan Pahang menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di halaman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin bagi merampas kedudukan takhta Liga Super, kata Faisal Rosli.

Pemain berusia 29 tahun ini menggesa rakan sepasukannya agar mengutip tiga mata penuh bagi memastikan pasukan mereka kembali menerajui takhta Liga Super, mengatasi Harimau Selatan.

“Ini peluang terbaik untuk kami melakar kemenangan di laman sendiri, paling penting, ia juga adalah peluang untuk kami merampas kembali kedudukan teratas Liga (Super) yang ketika ini hanya dua mata membezakan kami dan JDT.

“Kemenangan ini juga bakal memberi motivasi tambahan kepada semua pemain untuk meneruskan rentak bagi memastikan misi memenangi saingan Liga Super musim ini menjadi kenyataan,” katanya kepada Arena Metro.

Beliau juga turut memberi kepercayaan kepada pengendali Pahang, Dollah Salleh dalam menurunkan barisan terbaik beliau.

“Keputusan perlawanan itu nanti banyak bergantung kepada corak taktikal pasukan, saya menaruh keyakinan penuh kepada jurulatih untuk menentukan pemilihan barisan terbaik bagi menggalas tugas, selain percaturan lain bagi memastikan kemenangan milik Pahang,” katanya kepada Arena Metro.

Faisal mahu para pemain Tok Gajah berjaga-jaga dengan kelibat penyerang import dari Argentina, Gonzalo Cabrera.

“Dia (Cabrera) sudah menjaringkan tujuh gol setakat ini, jadi sudah pasti menjadi tumpuan utama. Begitu juga dengan penyerang berbisa mereka, Safawi Rasid turut mampu memberi ancaman kepada pasukan Pahang.

“Jadi, kalau saya diturunkan, mereka berdua perlu dikawal sebaik mungkin dan jangan berikan ruang kepada kedua-dua pemain ini mempamerkan aksi terbaik mereka,” katanya kepada Arena Metro.