Malaysia Berita

13 pemain kebangsaan perkuatkan Melaka

Melaka bakal diperkuatkan dengan 13 pemain kebangsaan yang bakal membarisi skuad tersebut  bagi mengharungi Kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini.

Biarpun tewas kepada Kedah musim lalu, Melaka berazam mahu membuktikan bahawa mereka pasukan yang layak apabila bakal berdepan Selangor, Ahad ini di Gambang, Pahang.

Pengurus Melaka, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, berkata pemain terbabit ialah kapten kebangsaan, Shereilynn Elly Pius, selain dibarisi Dadreee Rofinus, Jaciah Jumilis dan Nurul Azurin Mazlan.

“Selepas melakar sejarah muncul naib juara pertama selepas lebih 50 tahun kejohanan terbabit diperkenalkan sudah pasti ini kesempatan terbaik untuk terus melakar kejayaan baharu bagi pencapaian pasukan Hang Tuah.

“Apapun saingan tetap sengit daripada semua pasukan bertanding berikutan setiap lawan juga memiliki strategi dan perancangan tersendiri untuk meraih kejuaraan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Melaka membarisi 20 pemain berbanding 30 pemain pada musim lepas. Walaupun jumlahnya kecil, tetapi skuad ini dilihat lebih berkualiti bawah bimbingan jurulatih, Jamil Hassan dan pembantunya, Zulkafly Harun.