Liga Super Malaysia Berita

Mehmet puas hati aksi ‘pakar seri’

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic berpuas hati dengan keputusan seri yang dicatat pasukannya ke atas Selangor di Stadium Shah Alam, semalam.

Bagi beliau, keputusan itu sudah cukup memadai buatnya apabila Selangor dilabel sebagai pasukan yang kuat.

“Saya gembira dengan pemain saya kerana mereka sudah melakukan tugas dengan baik. Kami cipta banyak peluang tetapi masih gagal menghasilkan jaringan dan untuk itu kami perlu bekerja lebih keras lagi.

“Agak bagus untuk dapatkan satu mata ketika menentang Selangor terutamanya bermain di tempat lawan,” katanya.

Gol Perak dijaringkan oleh Nor Hakim Hassan pada minit ke 35 sebelum Selangor menyamakan kedudukan melalui Sandro Da Silva.

“Bukan senang untuk menentang Selangor. Ucapan tahniah perlu diberikan kepada mereka dan B Sathianathan. Apa pun kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk menghadapi aksi selepas ini,” katanya.