Luar Negara Berita

Jika saya melepaskan penampar, saya pula yang akan dibelasah – Gattuso

AC Milan berjaya mengatasi Lazio dengan kemenangan tipis 1-0, awal pagi tadi dengan aksi dicemari dengan insiden pergaduhan di San Siro.

Kemenangan ini sangat bermakna buat Milan untuk memburu tempat ke Liga Juara-Juara selepas AS Roma berjaya menundukkan Udinese 1-0 dalam satu aksi awal.

Gol yang dijaringkan oleh Frank Kessie melalui sepakan penalti 10 minit sebelum perlawanan tamat memberi kemenangan selesa kepada anak buah Gennari Gattuso.

Namun kemenangan ini terpalit dengan insiden pergaduhan membabitkan kedua-dua pemain selepas wisel penamat dibunyikan.

(Photo by Marco Rosi/Getty Images)

“Saya sendiri terpaksa memasuki padang untuk menenangkan pemain,” kata Gattuso kepada DAZN.

“Saya di bangku simpanan, saya melihat pemain kedua-dua pasukan saling melepaskan kata kesat. Apa yang penting ia berakhir di situ.

“Ketika di zaman saya selaku pemain, perkara sebegini akan menaikkan api kemarahan saya, tetapi kini saya melihatnya dari sudut berbeza dan saya pun sudah terlalu tua untuknya.

“Tambahan pula, sekiranya saya melepaskan penampar, mungkin saya pula dibelasah, ini kerana mereka lebih banyak memasuki gimnasium berbanding saya.”

Milan kini di tangga keempat dengan 55 mata, dua mata di belakang pasukan ketiga, Inter Milan yang akan menentang Frosinone, malam ini.