Luar Negara Berita

Pertembungan Chelsea, Liverpool imbau kenangan ‘terjatuh’

Juergen Klopp mengakui Liverpool tidak akan gentar melayan kunjungan Chelsea yang pernah menghalang mereka daripada menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris lima tahun lalu.

Pada 2014, Liverpool ketika dibawah bimbingan Brendan Rodgers gagal memanfaatkan peluang bermain di halaman sendiri apabila tewas 0-2 di tangan Chelsea selepas Steven Gerrard terjatuh dan menghadiahkan gol buat Demba Ba.

Bagi Klopp, beliau yakin dengan semangat dan fokus para pemain beliau.

“Saya tak pasti jika memori itu masih diingati sesiapa. Anda boleh beritahu semua penyokong untuk tidak mempedulikannya. Ia tiada kena mengena dengan kami. Ia jelas cerita yang amat berbeza,” kata Klopp.

“Ia semuanya mengenai perlawanan Ahad ini (esok). Sesiapa yang mahu bercakap dengan mana-mana pemain saya mengenai apa yang berlaku beberapa tahun lalu, harapnya jangan. Kami mahu melakar sejarah sendiri.

“Saya tidak bimbang. Saya memang rasa bahang pertandingan ini, tapi kami hanya mahu melihat apa yang positif ketika ini.

“Kami mahu terus melangkah kerana ia belum berakhir. Kami cuba menggalakkan mereka supaya bermain dengan baik. Kami ada melakukan kesilapan tetapi kami perlu menanganinya.”