Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) memuji kesungguhan Jerantut FA untuk bermain di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka menjelang aksi pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019 pada 17 April ini.
Menurut Setiausaha Agung PAFA, Tajul Hasnan Omar, pihaknya terdahulu telah menawarkan kelab amatur dari Liga M4 itu bermain di Stadium Perak, Ipoh sebagai usaha membantu mereka mengurangkan kos operasi.
Bagaimanapun, Tajul mendedahkan pasukan bimbingan Ahmad Nazri Mat Noor menolak secara baik permintaan Perak dengan menegaskan mahu bermain di laman sendiri di mana kelab amatur itu telah bersedia untuk menanggung kos perbelanjaan pasukan pelawat.
Mengulas lanjut, Tajul memuji semangat perjuangan tinggi Jerantut FA yang melepasi pusingan kedua Shopee Piala FA 2019 dengan menewaskan JBFA 3-0, untuk bermain di gelanggang sendiri dan kesungguhan itu wajar dicontohi oleh pasukan Liga Malaysia.
“Benar kami ada menawarkan Jerantut FA bermain di (Stadium Perak) Ipoh kerana kami mahu membantu mereka mengurangkan kos kerana kita menyedari kos itu (menanggung pasukan pelawat) agak besar bagi kelab amatur.
“Bagaimanapun Jerantut FA menolak secara baik permintaan kami dan kesungguhan mereka untuk bermain di gelanggang sendiri membuatkan saya lebih kagum.
“Semangat ini haruslah disokong dan saya berharap peminat-peminat dapat memenuhi stadium nanti kerana saya percaya perlawanan ini menjadi cukup menarik di mana Perak sudah pasti tidak sesekali memandang rendah terhadap cabaran mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Tajul turut mendedahkan PAFA menyambut baik usaha Malaysian Football League (MFL) yang melancarkan program meningkatkan kualiti padang dengan menyaksikan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menjadi perintis projek itu.
Katanya, PAFA yang dalam pertimbangan untuk membuat permohonan pada tahun depan, percaya pendekatan yang diperkenalkan MFL itu sewajarnya diberikan pujian.
“PAFA sangat menyokong penuh kerana MFL berusaha keras untuk menaikkan kualiti padang semua pasukan-pasukan.
“Inisiatif yang diberikan oleh MFL seperti menaik taraf padang dan berkongsi kepakaran itu sangat penting terutama kepada semua pasukan di Liga Malaysia,” katanya.