Pahang seharusnya telah memberi aksi yang konsisten jika mahu memenuhi misi merampas takhta Liga Super.
Pengendali Pahang, Dollah Salleh yang tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa ketika pasukannya seri dengan PJ City FC, Sabtu lalu mengharapkan anak buahnya bangkit dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.
“Kalau kita ingin berikan saingan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), kena pastikan setiap perlawanan selepas ini berakhir dengan kemenangan.
“Pemain kita berpeluang untuk menjaringkan lebih daripada satu gol ketika bertemu PJ City FC hujung minggu lalu, tapi nampaknya mereka (pemain) tidak memanfaatkan setiap peluang yang ada.
“Jadi, selepas ini saya tidak mahu kesilapan sama berulang… kalau sudah ada peluang (untuk jaringkan gol), kenapa nak tunggu atau teragak-agak lagi,” katanya.
Dickson Nwakaeme juga gagal membantu pasukan selepas dimasukkan pada separuh masa kedua.
“Dia (Nwakaeme) belum berada pada tahap terbaik kerana baru sahaja kembali menyertai pasukan selepas bercuti selama dua minggu.
“Saya rasa Nwakaeme boleh beraksi pada tahap sebenar tidak lama lagi, biar dia kembali menjalani latihan dengan rakan sepasukan terlebih dahulu dan saya percaya dia akan mempamerkan prestasi sebenar dalam aksi selepas ini,” katanya.