Liga Super Malaysia Berita

Kejutan manis dari PKNP untuk Terengganu

Penolong Jurulatih PKNP FC, Chang Wing Hoong memuji barisan pemain beliau selepas berjaya menundukkan naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu FC di laman lawan semalam.

“Saya sifatkan kemenangan 2-1 pasukan ke atas TFC adalah satu kejutan yang sangat manis kerana misi kita hanyalah untuk mengutip satu mata kerana skuad itu kebal di laman sendiri dengan rekod tanpa kalah,” kata Wing Hoong.

“Kita juga sedia maklum TFC adalah pasukan yang kuat dan ini menjadi cabaran getir buat pemain kami untuk mencatat kemenangan, tetapi pujian harus diberi kepada semua pemain yang berjaya mengikut arahan dan taktikal yang sangat bagus.

“Disiplin dan semangat juang tinggi pemain bermula pada babak pertama lagi juga harus dipuji dan akhirnya membuahkan kejayaan yang bermakna sekali gus membawa pulang tiga mata berharga bagi memperbaiki kedudukan dalam liga.”

Wing Hoong mengharapkan kemenangan ini dapat memberi motivasi kepada para pemain untuk terus bangkit.

“Saya percaya momentum kemenangan akan berterusan dalam perlawanan seterusnya terutama selepas melakar tiga kemenangan berturut-turut – dua dalam liga ketika menumpaskan Kuala Lumpur

“dan TFC malam ini (malam tadi) serta Batu Dua FC dalam saingan Piala FA,” katanya.