Liga Super Malaysia Berita

Mehmet tak rela Perak putih mata

Pengendali Perak, Mehmet Durakovic mahu anak buah membawa pulang tiga mata berharga ketika menerima kunjungan PKNS FC di Stadium Perak, Ipoh malam ini.

Perak dilihat sukar untuk mencipta kemenangan dalam enam perlawanan awal musim ini apabila hanya mencatat satu kemenangan, empat keputusan seri dan satu tewas.

“PKNS pasukan yang sangat bagus, mereka mencipta keputusan yang baik sebelum ini. Ia pasti tidak akan menjadi perlawanan yang mudah dan kami perlu meningkatkan usaha untuk menewaskan mereka.

“Tapi saya gembira dengan kehadiran semula Shahrel. Dia sebenarnya masih belum pulih sepenuhnya, tapi berjaya melakukan tugas dengan sangat baik bersama pasukan,” katanya.

Bagi pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagopal sudah mengenal pasti kelemahan dan kekuatan pasukan Perak.

“Kita tahu pemain mana yang perlu diturunkan, kita juga tahu kekuatan Perak. Kita sudah pernah berdepan Perak sebelum ini.

“Tapi mereka pun sudah pasti mahukan keputusan yang baik untuk perbaiki kedudukan dalam carta liga. Jadi ia akan menjadi perlawanan yang sengit,” katanya.