Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : K.Devan congak strategi jumpa Kedah

Jurulatih Petaling Jaya City FC K. Devan perlu mencongak strategi terbaik apabila anak buahnya bakal bertandang ke Stadium Darul Aman untuk berdepan Kedah di pusingan ketiga Shopee Piala FA 2019.

Beliau mengakui mereka perlu berada di tahap terbaik daripada aspek fizikal dan mental untuk beraksi di stadium keramat Kedah yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah di laman sendiri musim ini.

Dengan mengambil kira format kalah mati, PJ City perlu mengerah sehabis mampu kudrat yang ada bagi mengelak kekecewaan seperti mana musim lalu apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal iaitu di pusingan kedua kepada UKM FC.

Sebagai rekod, dua pasukan ini telah bertemu pada saingan Liga Super yang menyaksikan Kedah menang 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

“Atas kertas, pasukan kami memang berdepan laluan sukar untuk menentang Kedah apatah lagi Stadium Darul Aman merupakan kubu kuat mereka (Kedah).

“Saya perlu bersedia untuk merangka strategi yang berbeza kerana setiap lawan mempunyai ramuan berlainan dan tanggungjawab saya adalah untuk merancang plan yang bersesuaian bagi berdepan Kedah.

“Paling penting, saya mahu pemain beraksi sepertimana mereka bermain di laman sendiri dan jangan mudah mengalah dengan sebarang tekanan”, katanya.

Dalam pada itu, kapten UKM FC, Asnan Ahmad lebih bersikap realistik apabila mereka bakal menentang juara bertahan, Pahang yang juga kini menghuni tangga teratas Liga Super.

Berjaya mara hingga ke pusingan ketiga selepas menundukkan Protap FC 5-1 tempoh hari sudah mencapai sasaran pasukan dalam saingan Piala FA musim ini dan menganggap satu bonus sekiranya mereka mampu ke suku akhir.

Walaubagaimanapun, Pahang sudah pasti enggan beri laluan mudah apatah lagi berdepan pasukan bukan pilihan seperti UKM FC dan Asnan mengharapkan kerjasama setiap rakan sepasukan untuk sekurang-kurangnya hadirkan tentangan sengit kepada skuad bimbingan Dollah Salleh itu.

“Menentang pasukan berpengalaman seperti Pahang dan mempunyai ramai pemain kebangsaan sememangnya amat sukar.

“Tetapi sewaktu berdepan Felda United pada musim lepas di pusingan ketiga, kami juga mampu beri tentangan sebelum mereka menang dengan keputusan 2-1.

“ Namun, kami juga hanya ingin bersikap realistik dan sudah pasti kemenangan akan dianggap satu bonus buat pasukan kecil seperti UKM FC”, katanya.