Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : JDT, Selangor diundi lawan sukar

Keputusan Undian Shopee Piala FA menyaksikan beberapa pasukan Liga Super bakal menghadapi sesama sendiri pada perlawanan pusingan ketiga.

Majlis undian yang dijalankan di Menara Mustapha Kamal sebentar tadi dihadiri hampir kesemua wakil pasukan yang menang dengan lawan masing-masing pada perlawanan Shopee Piala FA semalam.

Antara perlawanan yang menjadi tumpuan adalah Johor Darul Ta’zim yang layak secara automatik pada pusingan ketiga bakal menghadapi PKNS FC yang menang ke atas Melaka, 3-2 hasil gol daripada K. Gurusamy, Chan Vathanaka dan Kpah Sherman.

Selangor yang menduduki tangga ke tujuh Liga Super musim ini diundi bertemu dengan pasukan yang menduduki tangga ke 10 Liga Super, Felda United. Dengan Selangor bakal menjadi tuan rumah pada perlawanan pusingan ketiga, menyaksikan kelebihan awal buat pasukan Red Giants.

Tetapi semestinya FELDA United tidak mahu berputih mata dan mahu layak lebih jauh pada kempen Piala FA musim ini. Kedua-dua pasukan dilihat mempunyai peluang yang sama.

Manakala PKNP FC pula dijadualkan bakal bertemu antara pasukan PDRM atau Sarawak selepas perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan ditunda. PKNP FC perlu menunggu untuk mengetahui lawan mereka pada pertemuan pusingan ke tiga nanti.

Bagi pasukan Pahang pula, anak buah Dollah Salleh yang mudah meratah PIB FC semalam bakal bertemu UKM FC pada pusingan ketiga nanti.

Lain-lain perlawanan menyaksikan Terengganu FC bakal bertemu Kelantan United FC, Kedah pula dijadualkan bakal bertemu PJ City FC, Jerantut FA bakal melayan kunjungan Perak dan Pulau Pinang bakal melayan kunjungan pasukan Kuala Lumpur.