Malaysia Berita

Pemain harus terus bermimpi dan tidak hilang harapan – Tan Cheng Hoe

Wujud keraguan pada masa hadapan bola sepak Malaysia setelah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima pemain naturalisasi menjadi sebahagian daripada skuad negara dan dikhuatiri membunuh bakat muda negara.

FAM baru-baru ini mendedahkan pelan mereka dalam pengambilan pemain naturalisasi dengan mewujudkan tiga peringkat pelan iaitu jangka pendek, sederhana dan jangka panjang.

Bagi pemain luar yang mahu berada di dalam pelan sederhana, pemain tersebut perlulah berusia 18 tahun atau lebih dan telah bermain Liga Malaysia selama satu hingga dua tahun.

Pemain ini juga perlu meyakinkan badan induk bola sepak negara dengan persembahan yang konsisten dan perlu kekal di Liga Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun.

Bagi pelan jangka panjang, ia memerlukan pemain tersebut berusia bawah 18 tahun.

Justeru, bagi pengendali skuad senior negara, Tan Cheng Hoe yakin bahawa pelan yang dilakukan oleh FAM ini tidak akan membunuh bakat muda negara malah memberi motivasi kepada mereka untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama negara.

Memetik kata-kata Tan Cheng Hoe kepada Fox Sports, “mereka harus terus bermimpi dan tidak hilang harapan. Mereka tidak boleh merasakan peluang mereka sempit. Bersaing dengan orang asing hanya akan meningkatkan permainan anda.

“Bagi saya, sama ada jangka pendek, pertengahan atau jangka panjang, langkah itu bertujuan membantu bola sepak Malaysia. Jepun melakukannya pada masa lalu dengan membawa pemain Brazil dan lihat mereka sekarang.

“Orang Jepun telah belajar dari orang asing. Kini, mereka bermain di liga teratas di seluruh dunia dan pasukan kebangsaan [mereka] juga melakukan yang terbaik. ”

Cheng Hoe juga percaya, kualiti yang dibawa pemain naturalisasi akan menjadikan pasukan kebangsaan bertambah baik.

“Fizikal kami lemah apabila kami bermain menentang pasukan yang lebih baik. Dengan membawa masuk pemain naturalisasi dengan kualiti yang betul, pasukan kebangsaan kita akan lebih berdaya saing.

“Saya selalu mengatakan bahawa jika saya ingin membawa pemain naturalisasi, dia mesti memahami budaya permainan kami dan juga menjadi contoh. Itu sangat penting jika kita mahu melihat pasukan kebangsaan bergerak ke hadapan. “