Luar Negara Berita

Solskjaer sahkan ejen pemain sudah dihubungi bagi urusan perpindahan ke United

Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan sebilangan besar ejen pemain telah dihubungi oleh pihak Manchester United bagi urusan perpindahan ke Old Trafford.

Solskjaer dilantik sebagai pengurus tetap dalam perjanjian tiga tahun, semalam, selepas memimpin kelab itu dengan 14 kemenangan dari 19 perlawanan.

Pengendali daripada Norway kini beralih ke arah memperkuatkan barisan pemainnya.

“Kami telah membincangkan bagaimana untuk menggerakkan kelab ke hadapan, bukan bermakna jumlah ‘x’ wang atau jumlah ‘x’ pemain,” kata Solskjaer.

(Photo by Alex Livesey/Getty Images)

“Kami telah duduk dan berbincang, tetapi sekarang lebih mudah untuk menjelaskan tentang apa yang perlu kita lakukan kerana kami akan melakukan pembelian pada jendela akan datang.

“Terdapat beberapa pemain yang telah kami senaraikan yang berminat untuk kami dapatkan dan terdapat sebilangan ejen pemain yang telah berhubung dengan pihak pengurusan kami dan mereka mahu datang ke sini.

“Apabila kita memutuskan apa yang perlu kita lakukan, semoga kita akan memperoleh mereka [sebelum] pra-musim.”

United berada di tangga kelima dalam Liga Perdana Inggeris, dua mata mengatasi Arsenal di tangga keempat dan tiga mata di belakang Tottenham yang berada di tempat ketiga dengan berbaki lapan perlawanan.

(Photo by Matthew Peters/Man Utd via Getty Images)

Solskjaer juga telah membawa United ke lapan terbaik Liga Juara-Juara, di mana United akan menjadi tuan rumah menjelang pertembungan dengan Barcelona pada 10 April nanti.

Solskjaer mengakui beraksi di Liga Juara-Juara akan menarik minat pemain untuk menyertai United, tetapi beliau percaya United boleh menarik pemain terbaik tanpa mengira apa yang berlaku sepanjang dua bulan terakhir musim ini.

“Sudah pasti beraksi Liga Juara-Juara penting bagi kami, mungkin penting bagi beberapa pemain,” kata Solskjaer.

“Tetapi untuk bermain dengan Man United, anda tahu jika anda menandatangani kontrak selama empat atau lima tahun, anda akan bermain di Liga Juara-Juara.

“Kami kini berada dalam kedudukan yang hebat untuk beraksi di Liga Juara-Juara namun ia tidak dapat diputuskan sehingga 12 April.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/Getty Images)

United mempunyai tiga pemain yang menghampiri baki akhir kontrak mereka – Ander Herrera, Juan Mata dan Antonio Valencia.

Kelab itu juga telah melakukan rundingan kontrak baharu dengan David de Gea bagi mengekalkan beliau untuk musim hadapan.

Solskjaer berharap pelantikannya mampu untuk membawa United ke hadapan bagi meyakinkan para pemain untuk komited bersama United.

“Sudah tentu mengetahui siapa pengurus pada musim depan akan membantu mana-mana pemain untuk menentukan di mana mereka mahu bermain.” kata Solskjaer.