Luar Negara Berita

Real Madrid pam duit €500 juta untuk Zidane borong pemain

Real Madrid dilaporkan akan menghabiskan musim panas ini dengan merombak skuad mereka selepas mendapat suntikan kewangan sebanyak €500 juta bagi jendela perpindahan yang akan datang.

Ia adalah salah satu langkah Zinedine Zidane untuk merevolusikan kelab terbabit selepas dikecewakan pada kempen Liga Juara-Juara dan La Liga.

Menurut L’Equipe, rancangan Los Blancos kini diperkuatkan lagi dengan peruntukan wang yang besar bagi perancangan musim panas ini.

Mereka mendakwa nila €500 juta adalah bagi menampung pembelian Kylian Mbappe, Paul Pogba dan Eden Hazard yang menjadi sasaran utama pengendali daripada Perancis.

(Photo by Pierre Costabadie/Icon Sport via Getty Images)

Salah satu kelebihan utama dalam pembelian trio terbabit adalah hakikat bahawa ketiga-tiga pemain itu telah menyatakan hasrat mereka untuk bekerja dibawah kendalian Zidane.

Pogba dan Hazard sebelum ini tanpa berselindung menyatakan hasrat mereka untuk berhijrah ke Madrid sambil menyifatkan ia adalah ‘impian semua pemain’.

Tetapi ia tidak mudah apabila Real Madrid perlu melepasi majikan mereka Manchester United dan Chelsea.

Misi mustahil untuk Zidane bagi mendapatkan Mbappe apabila dikhabarkan bahawa pemain itu mahu kekal bersama Paris Saints-Germain dan kelab gergasi Perancis itu tidak berniat untuk melepaskan beliau pergi.