Liga Super Malaysia Berita

Irfan mahu anak buah benam Selangor

Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim optimis dengan peluang skuadnya untuk menundukkan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam esok.

Beliau menyatakan kepada Berita Harian bahawa tahap kecergasan dan motivasi pemainnya berada di tahap memberangsangkan biarpun liga berehat panjang.

“Walaupun liga berehat panjang, pemain saya tetap cergas dan lebih membanggakan prestasi mereka konsisten…mereka gigih dan bersemangat ketika sesi latihan.

“Kami mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Perdana, UiTM FC dan UKM FC yang masing-masing berkesudahan kami menang 2-1.

“Lebih menggembirakan apabila semua pemain bebas daripada sebarang kecederaan dan penggantungan selain persefahaman antara pemain baharu dan sedia ada kian baik,” katanya.

Irfan turut mengingatkan anak buahnya untuk berwaspada dengan ancaman serangan Selangor.

“Walaupun kita dah tahu corak permainan dua bekas pemain TFC itu, pemain tidak boleh ambil mudah sebaliknya harus berwaspada dengan taktikal skuad itu selain beraksi seperti biasa dan jangan terlalu menghormati lawan,” kata Irfan yang bakal melakukan sedikit rombakan ke atas pasukannya.

Berdasarkan rekod musim lalu, skuad TFC tewas 0-2 pada aksi Liga Super pusingan kedua di Stadium Shah Alam manakala pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah skuad Penyu itu menang 4-1.