Berita AFC U23 Championship

Akhyar tunjuk taring

Dua gol daripada Akhyar Rashid telah memberi kemenangan selesa buat skuad muda negara pada Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas menewaskan Filipina 3-0 pada aksi kelayakan Kumpulan J di Stadium Shah Alam, malam ini.

Jaringan tunggal pada separuh masa kedua oleh pemain gantian Faisal Halim berjaya meletakkan pasukan Malaysia di tangga kedua Kumpulan J selepas China menewaskan Laos dengan jaringan besar, 5-0.

Kejayaan mengutip tiga mata penuh memberi harapan cerah buat skuad muda negara dalam pemburuan tiket ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC.

Biarpun terlepas beberapa peluang terhidang, anak buah Ong Kim Swee wajar diberi pujian apabila mempersembahkan corak permainan yang baik apabila gandingan trio Safawi Rasid, Akhyar dan Hadi Fayyadh nyata mengucar kacirkan bahagian pertahanan Filipina.

Skuad muda negara mula merobek gawang Filipina seawal minit keempat menerusi rembatan deras Akhyar yang menerima hantaran Syahmi Safari daripada sebelah kanan padang.

Akhyar tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua dengan sentuhan mudah pada minit ke-31.

Pemain kelab Fagiano Okayama, Hadi mempunyai tiga peluang keemasan untuk menambah duka Filipina pada separuh masa pertama gagal berbuat demikian apabila cubaan beliau tepat kearah penjaga gol.

Faisal Halim yang masuk menggantikan Akhyar berjaya menambah gol ketiga pada minit-minit akhir perlawanan untuk memberi kemenangan selesa.

Malaysia bakal bertemu Laos, Ahad ini pada perlawanan kedua Kumpulan J.