Luar Negara Berita

Messi Ledak Hatrik Ke 34 Dalam La Liga

Lionel Messi melengkapkan hatrik yang ke 34 semalam selepas membenam Real Betis 4-1 di Stadium Benito Villamarin. Jaringan beliau disusuli dengan tepukan gemuruh penyokong pasukan lawan.

Pemain kelahiran Argentina ini membuka tirai jaringan dengan sepakan percuma dan gol kedua hadir beberapa minit sebelum separuh masa pertama tamat.

Messi melengkapkan hatriknya semalam dengan jaringan cantik pada minit ke 85 hasil lorongan Ivan Rakitic daripada kiri padang untuk beliau melakukan lambungan di dalam kotak penalti yang melemaskan penjaga gol pasukan tuan rumah.

“Walaupun Betis melepaskan gol kepada Messi, mereka tetap mengagumi kehebatan dia dan hari ini mereka menyanjunginya,” kata jurulatih Barca, Ernesto Valverde.

“Penyokong lawan menderita kerananya tetapi pada masa sama menghargai apa yang dimiliki pemain ini. Prestasi Leo memang luar biasa, dia sepatutnya menjaringkan empat gol. Itu menunjukkan betapa bagusnya Messi.”

Pengendali Betis, Quique Setien tanpa berselindung mengakui bangga dapat bekerja dalam era yang sama dengan bintang Argentina.

“Saya sangat suka dengan penghargaan penyokong kami kepada Messi dan hari ini dia membuat kami merana,” kata Setien.

“Saya mempunyai beberapa pemain hebat tetapi tiada siapa setanding Messi sejak 12 tahun lalu. Sangat istimewa berada satu era dengannya dan teruja melihat dia beraksi setiap minggu.”