Liga Super Malaysia Berita

Irfan Tak Puas Hati Prestasi ‘Drogba Ganu’

Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim tanpa berselindung mengakui tidak mahu terlalu bergantung dengan penyerang import Kipre Tchetche selepas beliau dilihat gagal menjaringkan sebarang gol selepas enam perlawanan.

Terkenal dengan jolokan ‘Drogba Ganu’ adalah pemain yang ditandatangani pada pertengahan liga 2017 dari kelab Al Suwaiq dalam Liga Oman.

“Saya lihat pemain itu (Tchetche) masih lagi bergelut untuk menghasilkan jaringan pertamanya musim ini biar pun sudah diberi peluang yang lebih luas dalam enam perlawanan terdahulu.

“Namun prestasinya tidak begitu membanggakan sebagaimana musim lalu ketika muncul penjaring terbanyak pasukan dengan meledak 24 gol keseluruhan sepanjang Liga Malaysia (Liga M).

“Kini kami tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pemain itu untuk tugas merobek gawang lawan setiap kali kami beraksi sebaliknya pemain lain juga harus memikul tugas menjaringkan gol bagi mengelak kita terus kemarau jaringan.

“Setakat enam perlawanan terdahulu kita baharu berjaya meledak lapan gol. Dan jika dianalisis jaringan itu sepatutnya mampu menghasilkan lebih lagi jaringan berdasarkan keupayaan dan kelebihan yang ada pada pemain kita,” kata Irfan kepada Berita Harian.

Beliau turut mengakui prestasi yang ditunjukkan oleh Kipre jelas tidak sama dengan apa yang beliau pamerkan pada musim lalu dengan menjaringkan 14 gol pada kempen Liga Super yang lepas.

Pemain termahal skuad TFC ini dilihat masih tercari-cari rentak permain beliau biarpun sebahagian besar rakan sepasukannya musim ini adalah pemain sama pada musim lalu.

“Saya harap pemain itu kembali bangkit membuktikan kemampuan sebenarnya lebih-lebih lagi pemain itu kini dilihat berusaha keras untuk meningkatkan prestasinya termasuk dengan melakukan tambahan latihan sendiri,” katanya kepada Berita Harian.

Untuk rekod, beliau telah menjaringkan 36 gol dalam 57 penampilan bersama skuad penyu pada musim lalu.