Liga Super Malaysia Berita

Hadin Yakin Felda Mampu Kejutkan PKNS

Daripada segi rekod dan perlawanan yang lalu, nyata kelebihan berpihak kepada PKNS FC yang menduduki tangga ke lima Liga Super musim ini tetapi itu tidak menghalang Felda United FC untuk mencatat keputusan positif pada pertemuan di Stadium Shah Alam, malam esok.

Skuad Datuk K. Rajagopal telah mencatat dua kemenangan dan satu keputusan seri dalam tiga perlawanan terakhir mereka manakala Felda United yang berada di tangga ketujuh Liga Super hanya mampu mencatat satu kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan di tangan Kedah.

Tetapi bagi kapten The Fighters, Hadin Azman beliau tetap optimis dengan kemampuan pasukan dan berharap rakan sepasukan dapat mempamerkan persembahan yang baik bagi menghalang tuan rumah daripada mengutip tiga mata penuh.

Beliau berkata kepada Berita Harian, “Saya harap percaturan jurulatih (Mohd Nidzam Jamil) menjadi untuk memastikan kami tidak keciciran mata kerana PKNS diakui sebuah pasukan yang bagus.

“Kami perlu bekerja keras dan tidak melakukan banyak kesilapan bagi menyekat lawan yang dilihat memiliki kelebihan apabila beraksi di tempat sendiri.

“Namun, dengan keputusan positif yang diraih dalam lima perlawanan lalu termasuk mencatat kemenangan pertama ketika menewaskan PJ City FC minggu lalu, ia menyuntik semangat kami untuk beraksi dengan lebih baik terutama meraih mata di tempat lawan,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa PKNS FC mempunyai pasukan yang seimbang tetapi tidak menolak bahawa Felda mampu untuk mencipta kejutan.

“Saya juga mengharapkan mampu untuk menjaringkan gol dan begitu juga rakan lain,” kata pemain berumur 25 tahun itu.