Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengecam tindakan pemain Liverpool terhadap Marcus Rashford pada pertembungan kedua-dua pasukan semalam.
Rashford menerima masalah buku lali susulan daripada terjahan keras kapten pasukan Liverpool, Jordan Henderson pada separuh masa pertama.
Dengan tiga pemain keluar menerima rawatan sebelum rehat separuh masa pertama disebabkan kecederaan hamstring, Rashford dipaksa untuk meneruskan permainan biarpun kelihatan tidak cergas sepanjang 90 minit perlawanan.
“Saya fikir dia… kamu tidak boleh cakap yang kamu menjadi sasaran tetapi kamu boleh cakap ada beberapa kekasaran terhadapnya,” kata Solskjaer. “Secara normal kamu boleh mengeluarkannya selepas lima minit… dia (Henderson) terus meluru kepadanya dan buku lalinya mengalami kesakitan.
“Kemudian Ander Herrera dan Juan Mata dikeluarkan jadi sudah tentu kami tidak boleh mengambil risiko untuk menggantikannya juga dan berharap apa yang dialaminya tidak begitu serius.
“Itu hanya satu daripada banyak kekasaran yang diterima olehnya. Tetapi dia seorang pejuang, dia pemain Manchester dan tahu apa maknanya. Kami perlu mengekalkannya di atas padang kerana kami sudah menggunakan tiga pemain gantian,” kata Solskjaer yang berpendapat pengadil sepatutnya mengambil tindakan lebih keras bagi melindungi penyerang England itu.
Mengulas lanjut persembahan anak buahnya, Solskjaer mengakui gembira dengan persembahan yang ditampilkan oleh anak buahnya.
“Saya amat kagum dengan pasukan saya hari ini, sikap mereka, terutama karektor yang kami tunjukkan sekali pun dilanda pelbagai kesukaran,” kata pengendali dari Norway itu dengan skuad kendaliannya masih belum tewas dalam kancah liga sejak ketibaannya di Old Trafford.