Malaysia Berita

FAM, MFL Siasat Dakwaan Jual Permainan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedang menyiasat kemungkinan wujud aktiviti menjual perlawanan pada aksi  antara Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Perlis di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jumaat lalu.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan kepada Berita Harian bahawa kes sudah dibawa kepada bahagian integriti bagi menyiasat perkara terbabit.

“Saya sudah maklumkan kepada bahagian integriti untuk periksa perkara ini,” katanya ketika Majlis Pelancaran Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), semalam.

Pada perlawanan tersebut, JDT II berjaya menewaskan pasukan Perlis 2-1. Insiden jaringan pada lewat perlawanan hasil daripada hantaran lemah pemain pertahanan Perlis kepada penjaga golnya itu dikaitkan dengan gejala ‘bookie’.

Gol mudah pada minit 90 itu mencetuskan tanda tanya dan spekulasi dalam kalangan penyokong bola sepak.

Presiden FAM turut menjelaskan bahawa perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan badan pengelola Liga Super, MFL.

“Berkenaan perkara tersebut (unsur bookie), saya telah bincang dengan Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam semalam (kelmarin) dan pihaknya berjanji akan mengambil tindakan susulan.

“Malah saya juga telah maklumkan kepada bahagian integriti (FAM) untuk semak semula insiden yang berlaku tersebut,” katanya.