Malaysia Berita

Hadi Fayyadh Idam Aksi Final

Penyerang Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak bersedia untuk membawa tanggungjawab besar pada kempen Kejuaraan AFF B-22 menentang tuan rumah, Kemboja di Stadium Nasional Phnom Penh, hari ini.

Ketiadaan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid pada kejohanan kali ini dianggap satu peluang bagi beliau untuk membuktikan kemampuan beliau bersama-sama dengan Jafri Firdaus Chew.

“Saya akan terapkan sebanyak mungkin ilmu saya pelajari di Jepun. Sebenarnya semua pemain ada potensi, jadi saya harap ini buka peluang kepada pemain lain dan saya untuk tampil lebih baik.

“Saya berpendapat ini cabaran bagus yang dapat membantu diri saya jadi lebih baik,” katanya kepada Berita Harian.

Kejuaraan AFF B-22 bakal dijadikan medan untuk menguji kemampuan anak buah Ong Kim Swee sebelum menghadapi aksi kelayakan Kejuaraan AFC B-23, bulan depan.

Malaysia bakal turun menghadapi Indonesia pada 20 Februari nanti dan diikuti dengan Myanmar pada 22 Februari.

Bagi penyerang muda negara ini, beliau memasang impian mahu membawa skuad muda negara ke perlawanan akhir edisi kali ini.

“Misi saya adalah untuk membawa pasukan ke final kerana saya datang dari jauh. Untuk itu saya perlu tetapkan misi yang lebih tinggi,” katanya.