Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal turun dengan sokongan penyokong sendiri berhadapan Qatar pada aksi separuh akhir Piala Asia 2019 di Stadium Mohammad Bin Zayed, hari ini.
Kedua-dua pasukan dengan misi mencatat kemenangan bagi melangkahkan kaki ke peringkat akhir menentang Jepun yang berjaya menewaskan Iran, 3-0 semalam.
Pasukan kendalian Alberto Zaccheroni tetap akan menggunakan khidmat Ismail Al Hammadi dan ketua pasukan Fares Juma biarpun mereka berdua dilaporkan mengalami kecederaan sewaktu menang ke atas Australia di peringkat suku akhir.
Khamis Esmaeel pula hampir pasti akan diturunkan selepas menjalani pergantungan pada aksi bertemu Soccerroos.
Manakala dua penjaring gol di peringkat kalah mati, Bassam Al Rawi dan Abdelaziz Hatim akan terlepas aksi separuh akhir kerana mengutip dua kad kuning.
Kembalinya Omer Madibo dan Pemain Terbaik AFC 2018, Abdelkarim Hassan disambut dengan tangan terbuka.
Perlawanan hari ini turut menyaksikan dua penyerang berbisa, Almoez Ali dan Ali Mabkhout bertemu bagi menentukan pasukan siapa yang lebih layak ke pentas akhir.
Penyerang berbisa Qatar, Ali Almoez telah membuktikan keupayaan beliau dalam menjaringkan enam gol pada kejohanan AFC B-23 tahun lalu. Pada kempen Piala Asia 2019, beliau sekali lagi menunjukkan taring yang sebenarnya apabila berjaya menjaringkan tujuh gol dalam lima penampilan. Termasuk empat gol yang menghancurkan Korea Utara.
Ini juga menjadikan beliau ketinggalan hanya satu gol dibelakang Ali Daei bagi penjaring terbanyak dalam satu kejohanan.
Manakala bagi pasukan tuan rumah, mereka bakal mengharapkan bintang Al Jazira, Ali Mabkhout bagi membunuh harapan Qatar bagi melangkah ke pentas akhir.
Bekas pemenang anugerah kasut emas pada kempen Piala Asia 2015 di Australia ini telah menjaringkan empat gol pada kempen Piala Asia kali ini, beliau hanya memerlukan satu gol lagi bagi menyamakan rekod beliau pada kempen 2015.
Untuk rekod, UAE telah membuktikan bahawa mereka pasukan yang lebih baik apabila menang dalam tiga pertemuan dengan Qatar sebelum ini. Termasuk kemenangan 4-1 pada Piala Asia edisi 2015.
Manakala Qatar pula dalam misi untuk keluar daripada nasib buruk apabila kali terakhir menang ke atas UAE adalah pada tahun 2001, dimana dua gol daripada Ahmed Hashim dan Abdelnasser Al Obaidly berjaya menewaskan musuh Asia Barat mereka pada Piala Dunia Fifa di Korea Republic dan Jepun.
Sumber : the-afc.com