Malaysia Berita

Geran KLFA Bakal Dipotong

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) berdepan tindakan pemotongan geran tahunan susulan daripada isu tunggakan gaji yang melanda pasukan tersebut.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam dimana pemotongan geran tahunan itu dibuat berdasarkan peraturan sedia ada.

“MFL berhak untuk menyekat pemberian geran tahunan kepada KLFA selaku pasukan Liga Super sebagai cagaran untuk mereka melangsaikan segala hutang tertunggak.

“Pihak KLFA perlu membuktikan bahawa semua bayaran sudah dibuat dan mematuhi dokumen diperlukan dalam pendaftaran liga bagi membuktikan bahawa KLFA mempunyai kewangan yang baik dan perancangan untuk kekal bersaing dalam kempen 2019 dengan jayanya.

“MFL akan meminta penjelasan terperinci daripada KLFA dengan segera untuk dibawa kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sukan NSTP, hari ini.