Luar Negara Berita

Drogba Yakin Chelsea Atasi Man City, Percaya Pada Kemampuan Morata dan Giroud

Pemain lagenda Chelsea, Didier Drogba percaya dengan kemampuan The Blues untuk menundukkan pasukan Manchester City menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge.

Beliau yang telah membuat 226 penampilan bersama Chelsea dan menjaringkan 100 gol untuk The Blues yakin anak buah Maurizio Sarri dapat mengatasi Manchester City pada perlawanan awal pagi esok.

Chelsea yang berada di tangga ke-4 liga perlu menang jika mahu mengurangkan jurang mata dengan Manchester City yang berada di tangga pertama liga. Anak buah Sarri sebelum ini tewas mengejut, 1-2 dengan pasukan Wolves minggu lalu.

Drogba yang hadir ke Malaysia bagi mempromosikan Yokohama ditemui pada sidang media di Sunway Hotel & Spa sebentar tadi.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sengit. Tetapi kami bermain di halaman sendiri dan berharap agar Chelsea mendapat mata yang berharga. 

“Saya berharap kami dapat menang perlawanan tersebut setelah kami tewas dengan Wolves minggu lalu.

“Ya, saya akan menyokong pasukan saya dari belakang.” Kata Drogba pada sidang media sebentar tadi.

Chelsea melalui musim yang sukar setelah kedatangan pengurus baru, Maurizio Sarri dan beberapa pemain bintang meninggalkan kelab seperti Thibaut Courtois.

Barisan penyerang Chelsea juga dilihat tidak menunjukkan aksi yang konsisten setelah beberapa kali gagal untuk menjaringkan gol.

Bagi Drogba, kekurangan pada penyerang Chelsea – Álvaro Morata dan Olivier Giroud – adalah keyakinan diri untuk menjaringkan gol.

“Setiap penyerang mempunyai masa yang sukar, tetapi ia adalah sebahagian daripada permainan. 

“Mereka adalah penyerang bagus, salah seorang daripada mereka telah memenangi Piala Dunia dan seorang lagi pernah bermain untuk Real Madrid, Juventus dan memenangi Liga Juara-Juara

“Mereka adalah penyerang yang bagus cuma kekurangan mereka adalah keyakinan untuk menjaringkan gol.” Kata beliau kepada media.

Pada 2005, Drogba hampir pasti keluar daripada Chelsea setelah gagal menyesuaikan diri di Liga Perdana Inggeris. Tetapi suatu perkara telah mengubah keputusan beliau dan menjadikan beliau antara pemain penyerang terbaik pernah mewakili Chelsea. 

“Saya adalah orang yang pernah berada diposisi itu dan apabila seseorang penyerang kurang keyakinan diri ia akan menjadi suatu masalah yang besar.” Kata beliau.

Drogba hadir ke Malaysia setelah dilantik sebagai duta rasmi Yokohama. Beliau akan menjelajah ke beberapa negara-negara Asia dan Eropah untuk bertemu peminat dan pada masa yang sama mempromosikan Yokohama di peringkat global.