Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Thailand Mahu Tingkatkan Mutu Permainan

Pengendali skuad Thailand, Milovan Rajevac mengakui bahawa beliau akan fokus untuk memperkukuhkan barisan pertahan skuad Gajah Perang menjelang pertemuan kedua separuh akhir di Stadium Rajamangala, Sabtu nanti.

Jurulatih kelahiran Serbia ini mengakui bahawa pertahanan Thailand dilihat tidak kukuh dan hampir dihukum oleh pemain Malaysia pada pertemuan Sabtu lalu yang menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan.

Beliau juga menyatakan akan meningkatkan mutu permainan anak buahnya.

“Kami mencipta beberapa peluang tapi tak semua peluang terbaik yang kami dapat. Apa yang penting kami tidak tewas.

“Sekarang ini kami perlu tingkatkan lagi tahap permainan untuk menghadapi separuh akhir kedua di Bangkok nanti dan kami perlu menjaringkan gol.

“Aksi di gelanggang sendiri dan tempat lawan pasti berbeza, begitu juga negara Asia Tenggara yang lain. Apa yang pasti Malaysia sekali lagi akan memberi saingan sengit kepada kami,” katanya kepada Berita Harian.

Perlawanan separuh akhir pertama menyaksikan kedua-dua negara gagal menjaringkan gol awal untuk membawa bekalan selesa pada perlawanan kedua, Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Rajevac tetap bangga dengan permainan pemain beliau walaupun apa yang dirancang tidak menjadi.

“Ia bukan seperti perancangan asal kami (untuk tidak bermain secara bertahan). Malaysia beraksi dengan cukup baik dengan beberapa serangan dan mereka sangat agresif,”katanya kepada Berita Harian.