Malaysia Berita

Azmeer Kembali Perkuat Lang Merah

Pemain pertahanan, Azmeer Yusof kembali menyarung jersi Lang Merah untuk saingan Liga Super musim hadapan dengan menandatangani kontrak selama setahun.

Pengumuman ini dibuat oleh media KFA yang menyaksikan beliau kembali bersama skuad Kedah selepas kali terakhir membuat penampilan bersama Lang Merah adalah pada 2016.

“Kerjayanya cukup unik dengan kejayaan membantu Kedah FA dan Kuala Lumpur FA menjulang dua kejuaraan dua musim berturut-turut – Kejuaraan Piala Malaysia pada musim 2016 untuk Kedah dan Kejuaraan Liga Premier 2017 untuk Kuala Lumpur,” kata KFA.

“Dia akan mula memulakan latihan pra-musim 2019 bersama rakan sepasukan petang esok.”

Azmeer dalam satu kenyataan kepada Berita Harian memberitahu bahawa beliau sangat bersyukur dapat kembali menyarung jersi skuad Lang Merah dan bersedia untuk menyahut cabaran.

“Berkat doa dan penyokong setia yang mahukan saya kembali ke Kedah sudah dimakbulkan. Alhamdulillah saya amat bersyukur rezeki saya kini bersama Kedah untuk musim 2019,” kata Azmeer.

“Jika sebelum ini timbul persoalan sama ada saya mengikat kontrak dengan KFA, kini sudah terjawab yang saya kembali ke Darul Aman untuk menyahut cabaran Kedah musim depan.

“Saya tak sabar untuk bersama semua pemain dalam skuad baharu musim depan yang dibimbing Aidil Sharin Sahak.”