Malaysia Berita

Piala AFF Suzuki 2018 : Syahmi Safari Mahu Fokus Lawan Thailand

Pemain pertahanan kanan yang rajin dalam menyerang dan bertahan, Syahmi Safari menyatakan bahawa beliau selesa dengan status ‘low profile’.

Bagi pemain berusia 20 tahun ini, perhatian yang melebih-lebih juga tidak bagus kerana ia akan memberi kesan kepada permainan seorang pemain.

Justeru bagi beliau, fokus utama beliau adalah untuk memberi kemenangan kepada pasukan negara yang bakal turun ke Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini bagi perlawanan separuh akhir pertama bertemu Thailand. 

“Saya tidak ada masalah bila kurang mendapat perhatian, sebab sebelum ini, ramai orang tak kenal saya. Saya lebih suka bersikap ‘low profile’, saya lebih selesa begini.

“Saya tak menyangka secepat ini (beraksi di Piala AFF) lapan tahun lalu ketika Malaysia menjadi juara, saya masih darjah enam dan hanya menonton final Piala AFF di televisyen,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau juga menjelaskan kunci untuk merantai pemain-pemain Thailand, terutamanya Supachai adalah dengan memberi perhatian penuh dengan pergerakan mereka dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan negara.

“Supachai pemain yang bahaya, dia pandai mencari ruang dan tenang untuk menjaringkan gol. Saya kena lebih fokus dan tidak melakukan kesilapan,” katanya.