Malaysia Berita

JDT Umum Bakal Tandatangan Seorang Lagi Pemain Luar

Setelah berjaya mendapatkan bekas pertahanan Napoli, Mauricio dos Santos Nascimento serta bekas pemain akademi Valencia, Aarón Ñíguez. Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menandatangani seorang lagi pemain luar negara bagi persedian Liga Juara-Juara Asia untuk musim hadapan.

Melalui satu kenyataan yang dibuat oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor di laman Facebook Johor Souhtern Tiger. Tunku menyatakan bahawa pemain tersebut telah berada di dalam perancangan pasukan pada musim lepas lagi. Tetapi disebabkan berada diluar kemampuan JDT untuk mendapatkan pemain tersebut, Tunku terpaksa melupakan hasrat beliau untuk mendapatkan pemain tersebut.

Memetik kata-kata Tunku Mahkota Johor, “Saya ingin berkongsi maklumat kepada para penyokong semua bahawa kami telah berjaya menandatangani dua pemain luar negara baharu iaitu Mauricio dos Santos Nascimento dan Aarón Ñíguez. 

“Kami juga akan menandatangani seorang lagi pemain luar negara yang saya sendiri telah mengikuti perkembangan beliau selama setahun kerana kami tidak mampu ketika itu dengan harga pemain tersebut yang tidak berada dalam peruntukan kelab. 

“Alhamdulillah pada tahun ini adalah lebih sesuai untuk kami menandatangani beliau. Kami akan menyelesaikan proses menandatangani pemain luar negara ini dan seorang pemain tempatan yang baharu dalam masa terdekat.” Kata Tunku Mahkota Johor.

Untuk rekod, ini bukan sekali JDT menandatangani pemain berprofil tinggi untuk menghadapi Liga Super dan kejohanan AFC. 

Sebelum ini JDT telah menandatangani pemain tengah lagenda Argentina, Pablo Aimar bagi musim 2013/2014 dimana beliau telah membuat lapan penampilan dan menjaringkan dua gol untuk Harimau Selatan.