Malaysia Berita

Norshahrul Sedia Mengaum Lagi

Norshahrul Idlan Talaha, penyerang skuad kebangsaan menyatakan bahawa beliau bersedia untuk meneruskan rentak kemenangan pasukan negara apabila akan berkunjung ke Hanoi pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan A pada kempen Piala AFF Suzuki 2018, Jumaat ini.

Beliau yang sudah menjaringkan 3 gol untuk dua perlawanan berkata akan menggunakan pengalaman beliau untuk mencari gol awal pada perlawanan itu nanti.

Norshahrul sebelum ini menutup mulut pengkritik apabila menjaringkan gol pertama beliau pada pertemuan bertemu Kemboja manakala pada Isnin lalu, Norshahrul sekali lagi menggegarkan gawang dengan dua gol yang menyaksikan Malaysia berjaya mengatasi Laos 3-1 pada aksi kedua Kumpulan A di Stadium Bukit Jalil.

Mengulas lanjut tahap permainan beliau, Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo mengakui bahawa beliau sedikit tertekan setelah pemain berusia 32 tahun itu dipersoal pengkritik dan peminat bola sepak tanah air dengan kemampuan beliau setelah berjaya tersenarai antara 23 pemain terakhir yang menggalas tugas pada kempen Piala AFF Suzuki 2018. 

“Sememangnya sebagai penyerang memang ada tekanan daripada penyokong, jurulatih tapi saya mengatasi tekanan itu dengan baik,” 

Dalam kempen sulungnya bersama skuad negara pada tahun 2010, Norshahrul mencipta sejarah dengan membantu Malaysia meraih kejayaan Piala AFF Suzuki pertama setelah berjaya mengalahkan Vietnam 2-0 pada agregat di separuh akhir dalam perjalanan untuk ke pentas final. 

“Kita baru melalui dua perlawanan, masih banyak lagi perlawanan selepas ini. Selepas ini kita akan berjumpa dengan Vietnam, setiap kali dalam AFF, perlawanan dengan Vietnam cukup sengit. Insya-Allah kami akan berikan aksi lebih baik di Hanoi nanti.

“Harap rakan lain juga dapat membantu, tak semestinya saya saja yang menjaringkan gol tapi rakan lain juga boleh menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan pasukan,” katanya kepada Berita Harian.