Datuk Ong Kim Swee, jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) mengakui bahawa China adalah halangan terbesar buat pasukan Harimau Muda dalam melepasi kempen kelayakan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Kuala Lumpur pada 22 Mac tahun depan.
Skuad muda negara yang diundi bersama dengan China dan Laos mengakui bahawa China akan menjadi halangan buat Malaysia untuk mara lebih jauh pada kempen kelayakkan nanti sambil tidak menafikan kemampuan Laos dan Filipina yang mampu mencipta kejutan.
Tetapi jurulatih skuad B-23 tahun negara ini percaya dengan kemampuan anak buahnya dan akan mempersiapkan pasukan yang terkuat bagi menghadapi saingan Piala AFC nanti.
“Kalau mengikut undian, China adalah halangan terbesar tapi kita tak boleh memandang rendah Filipina dan Laos, mereka ada program persiapan pasukan yang baharu.
“Apa yang penting adalah persiapan kita dan jika mengikut perancangan saya percaya kita mampu layak secara merit sekali lagi tapi bukan jalan yang mudah untuk layak secara merit jika tidak mempunyai perancangan betul,” katanya kepada Sukan NSTP hari ini.
Ong Kim Swee juga memberitahu media bahawa beliau sudah mengenal pasti beberapa pemain yang akan memulakan latihan pusat pertama hujung bulan ini sambil masih menunggu pemain seperti Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Daniel Amir Norshisham dan Haziq Nadzli untuk melengkapkan pasukan.
“Persiapan kita bermula pada penghujung bulan November dengan kita akan bermain dalam Piala Newspaper di Vietnam. Pemain berusia 21 tahun yang saya kenal pasti daripada skuad Piala Presiden, SUKMA dan pemain yang masih boleh beraksi dengan kita seperti Daniel Amir dan beberapa pemain lain kemungkinan akan bersama kita di Vietnam.
“Selepas itu pada Januari kita akan mengadakan latihan selama 20 hari, 10 hari di Kuala Lumpur dan 10 hari lagi di luar negara bagi aksi persahabatan di mana pada Februari saya akan mengumpul pemain terbaik utk Piala AFF di Kemboja sebelum pusingan kelayakan,” kata Kim Swee.
Kejohanan AFC B-23 ini disertai oleh 44 pasukan yang akan berentap didalam 11 kumpulan dengan juara kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya dan kejohanan ini juga turut menyediakan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.