Malaysia Berita

Hadi Cuba Nasib Di Jepun

Hadi Fayyadh Abdul Razak, pemain bawah 19 tahun negara (B-19) sekali lagi terbang ke Jepun bagi menjalani ujian bersama dengan kelab Liga Jepun, Fagiano Okayama.

Beliau yang dipancing beberapa kelab daripada Liga Super memberitahun wartawan bahawa fokus beliau sekarang adalah mencari peluang untuk beraksi di luar negara bagi meluaskan pengalaman beliau.

“Ada tiga pasukan tempatan yang tanya tetapi saya mungkin meletakkannya dalam pelan B sekiranya tak berjaya mendapatkan pasukan di Jepun.

“Saya akan berangkat sekali lagi ke Jepun pada 26 November ini untuk menjalani latihan dan ujian bersama kelab Fagiano Okayama buat kali kedua.

“Saya harap pemergian pada penghujung bulan ini berjaya. Walaupun sudah dua kali mencuba semangat saya tetap kuat dan akan berikan yang terbaik sepanjang berada di sana,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Hadi yang sebelum ini sudah menjalani latihan dengan liga divisyen dua Jepun, Roasso Kumamoto selama seminggu sebelum mencuba nasib dengan kelab Fagiano Okayama September lalu.

Perjalanan beliau ditaja penuh oleh syarikat pengeluar minuman Yakult (M) Sdn Bhd yang percaya bekas pemain Johor Darul Ta’zim II mampu untuk bersaing di liga terbaik Asia itu.