Malaysia Berita

Cheng Hoe Khuatir Tahap Kecerdasan Pemain

Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih skuad negara meminta kesemua pemain yang baru melapor diri agar kembali fokus serta memberi tumpuan sepenuhnya pada aksi persahabat menentang Maldives, Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Antara pemain-pemain tersebut ialah lima wira Perak iaitu Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan, Kenny Palraj dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang masing-masing telah membantu Perak pada kempen Piala Malaysia apabila berjaya mengalahkan pasukan Terengganu FC, 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti sebelum terikat 3-3.

Cheng Hoe juga berkata, kesemua 26 pemain yang dipanggil berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Maldives sebelum memberitahu Berita Harian bahawa hanya Kenny Pallraj sahaja yang mengalami kecederaan.

Beliau yang juga bekas jurulatih Kedah FA merasa sedikit khuatir dengan tahap kecerdasan anak buahnya yang telah menghadapi kempen Liga tetapi beliau percaya yang mereka sudah bersedia untuk memulakan kejohanan Piala AFF.

“26 pemain dipanggil cuma Kenny Pallraj yang mendapat kecederaan dan yang lain saya rasa sudah bersedia untuk buat sesuatu pada kempen Piala AFF.

“Pemain sudah bermain sepanjang musim dan sebagai jurulatih agak khuatir keletihan dari segi mental dan fizikal tetapi saya rasa mereka ingin mencapai kejayaan dalam kempen Piala AFF,” katanya.

Sebelum membuat keputusan untuk memutuskan 23 pemain yang akan beraksi di Piala AFF, perlawanan persahabatan menentang Maldives adalah medan untuk para pemain memikat hati beliau.

“Perlawanan terakhir dengan Maldives kita akan cari kesebelasan terbaik tapi bukan mudah kerana perlawanan persahabatan kelas A hanya enam pertukaran pemain boleh dilakukan. Tapi  saya dan barisan kejurulatihan akan cuba dapatkan kesebelasan terbaik,” kata Cheng Hoe.