Piala Malaysia Berita

Mehmet Durakovic Bangga Dengan Sikap Tidak Putus Asa Pemain

Mehmet Durakovic, jurulatih Perak, memberi pujian yang tinggi terhadap anak buahnya yang berjuang sehingga ke minit-minit akhir untuk merangkul Piala Malaysia pada musim ini.

Skuad Seladang menewaskan Terengganu 4-1 dalam penentuan penalti selepas perlawanan yang mendebarkan berakhir 3-3 selepas masa tambahan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu.

Anak buah Durakovic dipaksa untuk bekerja keras bagi mencari dua gol untuk menyamakan kedudukan pada mknit-minit akhir setelah ditinggalkan oleh Terengganu.

Terengganu bermula dihadapan apabila Kipre Tchetche menjaringkan gol pada saat pertama perlawanan dan pada minit ke-42 sebelum Perak menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua dengan gol dari Muhammad Firdaus Sayadi (minit ke-46) dan Brendan Gan (minit ke-90).

Pada perlawanan yang penuh dramatik ini, Perak kehilangan penyerang mereka Gilmar Filho pada minit ke-57 manakala Lee Tuck dari Terengganu pada minit ke-66, kedua-keduanya dibuang padang.

“Permainan ini akan ada dalam sejarah,” kata Durakovic kepada Bernama. “Untuk kembali selepas 2-0 dan kemudian selepas 3-2, mereka ini tidak pernah berhenti. Mereka berhak mendapat semua kredit. Saya hanya jurulatih, orang-orang ini melakukan semua kerja di padang. Saya sangat gembira dengan mereka dan keluarga mereka, penyokong, kakitangan saya dan keluarga saya.

“Separuh masa pertama, saya memberitahu mereka untuk mempercayai diri mereka sendiri. Terdapat kesilapan dalam bola sepak tetapi mereka perlu melupakannya dan cuba lagi.

“Hafizul berada dalam kelas yang berbeza dan salah satu penjaga terbaik di negara ini. Jujur, semua orang membuat kesilapan. Dua pemain saya membuat kesilapan tetapi mereka kembali bangkit,” tambah Durakovic kepada Bernama

Durakovic, yang telah memenangi Piala Malaysia tiga kali sebagai pemain dengan Selangor dari 1995-1997 dan sebagai jurulatih pada 2015, mencapai kejayaan lain dengan memenangi trofi dengan Perak.

Stadium Shah Alam nampaknya menjadi daya tarikan bertuah kerana dia memenangi kesemua lima gelaran Piala Malaysia di stadium ini.

“Selangor adalah rumah kedua saya dan saya mempunyai kenangan indah di stadium ini. Permainan ini sudah tentu satu permainan terbaik dalam sejarah Piala Malaysia, “tambah jurulatih Australia itu kepada Bernama.