Piala Malaysia Berita

Mehmet Durakovic Cabar Pemain Perak, Akhiri Musim Ini Dengan Kejayaan.

Mehmet Durakovic meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada para pemain beliau untuk membawa pulang Piala Malaysia pada perlawanan akhir 27 Oktober ini menentang Terengganu. 

Tambah beliau lagi, barisan pemainnya berada pada tahap terbaik serta mempunyai kemampuan untuk menang pada aksi final nanti.

Justeru, beliau berharap anak buahnya agar mengakhiri musim ini dengan satu kejayaan yang paling bermakna.

“Musim ini adalah musim terbaik kita. Kita sangat gembira kerana layak beraksi ke final Piala Malaysia selain menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan kedua.

“Kempen Piala Malaysia kali ini juga adalah yang terbaik. Kita ada skuad yang besar dan kita ada ramai pemain muda yang bagus dan semoga kita akan mengakhiri musim ini dengan kejayaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa yang sama, Durakovic mengulas lanjut perlawanan JDT dan Terengganu yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 menyaksikan Terengganu layak ke final Piala Malaysia dengan kemenangan agregat 3-2.

“Bagi saya, JDT tetap berada dalam kelas mereka tersendiri. Bagaimanpun, bagi saya, Terengganu sememangnya layak untuk beraksi di final kali ini,” katanya.