Liga Super Malaysia

Kemelut FAS Masuk Episod Baru, Bakri Ibni Dakwa Ditipu

Episod yang melanda Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memasuki episod baru apabila beberapa ahli gabungan menarik balik tandangan yang menyokong Kongres Luar Biasa (EGM) dijalankan kerana didakwa ditipu.

Presiden Kelab Bola Sepak Tunas Lagenda, Bakri Ibni memberitahu Sinar Harian bahawa beliau telah diminta untuk membuat satu surat dan menurunkan tandatangan bagi menyatakan sokongan kepada Raja Muda Selangor (RMS) tetapi tandangan daripada surat tersebut telah disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab bagi meraih sokongan peribadi. 

Beliau yang menjadi mangsa percaya bahawa individu terbabit hanya mahu memporak peranda FAS dan sekaligus mahu menjatuhkan RMS.

“Surat itu dikeluarkan sendiri oleh setiausaha saya kerana pada asalnya kami diberitahu surat itu untuk menyokong Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah sebagai presiden. Tetapi bila dipanggil ke istana saya terkejut melihat surat ini ditukar kononnya kami setuju untuk tukar segala-galanya.

“Jadi orang yang bertanggungjawab ini sudah ‘kelentong’ semua orang,” katanya.

Beliau menambah bahawa pertemuan dengan individu-individu tersebut telah dilakukan dan beliau hanya bertindak sebagai orang tengah.

Bakri berkata, pada pertemuan terbabit tiada kata putus dapat dicapai dan beliau mengambil keputusan untuk menyatakan sokongan kepada RMS serta membatalkan sokongan beliau untuk Kongres Luar Biasa (EGM) dijalankan.

“Yang memberontak ini kata kepada saya mereka bersetuju RMS jadi presiden. Tapi itu sahaja, jangan ganggu yang lain (penyandang jawatan sebelum ini). Yang lain semua kena kekal.

“Mereka kata yang mereka sudah lama dalam FAS dan pernah bawa Selangor meraih pelbagai kejuaraan sebelum ini,” ujarnya.

“Tuanku panggil semua yang terlibat, sama ada yang turunkan tandatangan atau tidak yang mana pihak saya telah dipanggil beberapa hari lalu. Jadi ada dua perkara yang dibincangkan pada waktu itu. Yang pertama, soal EGM dan yang kedua berkaitan pasukan Selangor.

“Selepas mendengar perancangan dan hala tuju itu, kami semua pihak menjelaskan bahawa kami ditipu. Jadi, semua yang ada pada waktu itu memilih untuk menarik balik tandatangan tersebut,” katanya lagi kepada Sinar Harian.