Piala Malaysia Berita

Percaya Kemampuan Diri dan Tidak Putus Asa Jadi Punca Kebangkitan Terengganu

Terengganu berjaya melangkah jauh pada kempen Piala Malaysia musim ini dengan kemenangan agregat 3-2 selepas mereka menundukkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada separuh akhir kedua di Stadium Larkin.

Ini akan menjadi penampilan kelima Terengganu dalam final Piala Malaysia tetapi hanya sekali sahaja berjaya menang pada pentas akhir pada 2001.

JDT berada di depan apabila pemain Argentina, Fernando Marquez menjaringkan penalti pada minit ke-40 dan rakan senegaranya Gonzalo Cabrera menambah jaringan pada minit ke-62.

Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti, mengatakan bahawa keinginan pemainnya dan sikap tidak pernah putus asa membantu mereka mengatasi kelab bola sepak terbesar di Malaysia.

Beliau tanpa berselindung memuji penjaga gol Terengganu, Mohd Suffian Rahman apabila beraksi cemerlang pada perlawanan itu dengan menafikan beberapa cubaan gol daripada pihak tuan rumah

“Mohd Suffian adalah antara pemain tertua di padang dan dia tidak dialu-alukan oleh beberapa pemain dan peminat, tetapi saya telah mengenali dia selama 25 tahun yang lalu.

“Penjaga gol, ketika mereka berusia 35 dan 40 tahun, mereka mempunyai pengalaman, itulah sebabnya saya meletakkannya pada kesebelasan utama saya.

“Dia memberikan persembahan yang baik meskipun terdapat beberapa kesilapan tetapi secara keseluruhan, dia bermain cemerlang,” katanya.

Sementara itu, jurulatih JDT, Benjamin Mora meminta maaf kepada peminat kelab selepas kegagalan mereka menjulang Piala Malaysia.

“Kami minta maaf atas keputusan itu walaupun bermain perlawanan dengan baik dan kami mengucapkan terima kasih kepada peminat kami dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberi sokongan yang terbaik,” katanya.