Malaysia Berita

Malaysia vs Kyrgyzstan – Kekalahan Yang Positif

Pasukan bola sepak kebangsaan mengalami kekalahan ketiga tahun ini setelah kalah 0-1 dengan Kyrgyzstan pada perlawanan persahabatan di Stadium Hang Jebat, Melaka, semalam.

Menduduki ranking 171 dunia, Malaysia nyata bukan lawan mudah bagi Kyrgyzstan yang menduduki  ranking ke 91 dunia apabila mereka perlu bertungkus lumus untuk mengalahkan Malaysia dan gol Kyrgyzstan hadir 20 minit sebelum tamat perlawanan.

Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe memulakan perlawanan dengan menyerang, menguji barisan belakang Kyrgyzstan dengan meletakkan penyerang Norshahrul Idlan Talaha ke dalam posisi berbahaya tetapi gagal untuk mencari gol awal.

Kyrgyzstan menggunakan ketinggian mereka untuk melancarkan serangan udara dari tendangan sudut tetapi Malaysia berjaya menafikan sehingga rehat separuh pertama.

Pelawat akhirnya mendapat gol kemenangan selepas pengganti Bekzhan Sagynbaev menewaskan Khairul Fahmi Che Mat dengan rembatan padu kea rah pintu gol Malaysia.

Tersentak dengan gol lawan, Malaysia cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan tetapi keputusan 0-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kyrgyzstan yang bermain dengan 10 pemain selepas pertahanan tengah, Mustafa Lusupov dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua banyak membuang masa pada 10 minit terakhir.

Harimau Malaya cuba bangkit pada minit-minit akhir dengan kelebihan bermain 11 orang tetapi pelawat bertahan dengan kemas dan menggagalkan Malaysia untuk merapatkan jurang jaringan.