Shahril Arsat, bekas pemain pasukan bola sepak kebangsaan, berharap agar lebih ramai bekas pemain dibawa masuk bagi memperkasakan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).
“Kita memiliki ramai bekas pemain dan mereka ini sepatutnya dibawa masuk untuk terbabit sama membangunkan program ini.
“Saya akui terdapat beberapa bekas pemain terbabit tetapi bilangannya tidak ramai dalam empat atau lima orang dan kebanyakan hanya tertumpu di peringkat pusat sedangkan di peringkat bawah seperti peringkat negeri dan daerah tidak ada (bekas pemain),” katanya.
Shahril, bekas pemain Selangor era 90-an berkata, kebanyakan bekas pemain tidak dibawa masuk adalah kerana mereka tidak mengetahui urusan pentadbiran.
“Memanglah ada bekas pemain yang tidak tahu tentang kerja-kerja pentadbiran tetapi mereka ini mempunyai pengalaman yang boleh dikongsi. Tentang hal pentadbiran itu berilah sedikit masa, jika ada peluang mereka boleh belajar mengenainya,” katanya.
Selain daripada itu, beliau juga turut mempersoalkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan mengenai isu gaji RM175,000 yang diperoleh Lim Teong Kim selaku ketua jurulatih skuad bawah 16 (B-16) tahun dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Shahril berkata itu adalah hak Teong Kim selaku jurulatih berpengalaman.
“Bagi saya gaji seseorang tidak perlulah dihebohkan kerana ia berpatutan dengan pengalaman yang dia ada dan kejayaan yang dilakukannya sebelum ini.
“Namun, bagi saya beliau (Teong Kim) perlulah mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan skuad B-16 negara dan satu lagi dia sepatutnya tidak memandang rendah orang lain serta perlu menerima dan pandangan orang lain,” katanya.
Program NFDP menjadi tumpuan selepas kegagalan skuad B-16 gagal melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 di Peru, tahun depan biarpun sebanyak RM80 juta dibelanjakan untuk program itu yang diperkenalkan sejak 2014.