Piala Malaysia Berita

PAFA Hantar Rayuan Kepada FAM

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) telah menghantar surat rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertujuan untuk memohon pengecualian lima pemainnya menyertai skuad kebangsaan bagi membolehkan The Bos Gaurus mempersiapkan pasukan bagi menghadapi saingan separuh akhir Piala Malaysia.

Hasnul Zulkarnain Munaim, Presidennya berkata, Perak ingin turun dengan sepenuh kekuatan bagi menghadapi Sabah pada aksi timbal balik pada Ahad ini dan 21 Oktober nanti.

“Saya telah minta Setiausaha Agung hantar surat pada FAM untuk mohon pengecualian terhadap lima pemain ini. Setakat ini kami masih belum terima sebarang maklum balas,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama pemain bola sepak Perak di Royal Perak Golf Club, di sini, hari ini.

Antara pemain Perak yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat bagi menghadapi Sri Lanka dan Republik Kyrgyzstan, masing-masing pada 12 dan 16 Oktober ini adalah Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Kenny Pallraj, Amirul Azhan Aznan dan Nor Hakim Hassan.

Beliau berkata, pihaknya juga bimbang lima pemain itu akan mengalami kecederaan sepertimana yang berlaku terhadap ketua pasukan Perak, Muhammad Nasir Basharuddin ketika perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kemboja, pada 10 September lepas.