Malaysia Berita

Ramai Lagi Yang Akan Datang.

Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, memberi bayangan bahawa FAM bersedia untuk menggunakan lebih ramai pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Beliau memberi kenyataan setelah tindakan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang mengurangkan tempoh Peraturan Pemain Naturalisasi kepada pemain Pahang, Mohamadou Sumareh, hari ini.

“Keputusan berkenaan boleh dianggap sebagai pembuka jalan buat FAM dalam merealisasikan pengambilan beberapa lagi pemain naturalisasi bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

“Perkembangan ini juga sudah pasti akan memberikan lebih motivasi buat Sumareh sendiri yang sudah pun dipanggil buat pertama kali untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe pada Isnin ini.

“Sokongan padu daripada pihak MFL yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim sememangnya sangat ditagih FAM dalam kita sama-sama berusaha untuk memperkasakan lagi skuad kebangsaan.

“Selain itu, pada masa yang sama ia dapat meningkatkan kualiti saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dikelolakan MFL,” katanya.

Dengan keputusan ini, Pahang, juara Piala FA, boleh mendaftar pemain import itu sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M musim depan.

Walaubagaimanapun, Sumareh hanya boleh didaftarkan pada jendela perpindahan kedua yang akan berlaku pada Mac 2019 dan pada jendela perpindahan pertama beliau tetap mengisi kuota pemain import.

Sumareh akan menyarung jersi kebangsaan pada pertemuan dengan Sri Lanka pada 12 Oktober dan menentang Republik Kyrgyz pada 16 Oktober.