Australia berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan bawah 16 (B-16) tahun Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selepas menewaskan Indonesia 3-2 pada aksi suku akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Ini menjadikan Australia sebagai pasukan ketiga yang mara ke peringkat separuh akhir dan kali ketiga Australia berjaya menempatkan diri ke dalam kelompak empat terbaik setelah berbuat demikian ketika edisi 2010 dan 2014.
Indonesia memulakan perlawanan dengan ghairah dan mengejutkan Australia menerusi gol pembukaan Sutan Diego pada minit ke-16.
Australia bangkit menyamakan kedudukan enam minit selepas bersambung babak kedua menerusi gol daripada Daniel Walsh. Adam Leombruno dan Noah Botic menambah derita Indonesia apabila menjaringkan gol pada minit ke-65 dan 74.
Indonesia cuba bangkit dengan jaringan Rendy Juliansyah pada minit ke-89, namun ia sudah terlambat.
Jepun dan Tajikistan terlebih dulu mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan Jepun menundukkan Oman 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sementara Tajikistan menang 4-2 ke atas Korea Utara menerusi penentuan sepakan penalti.
Selain mara ke separuh akhir, tiga pasukan itu turut mengesahkan tempat ke Piala Dunia B-17 di Peru pada tahun depan dan hanya menunggu pemenang satu lagi aksi suku akhir, malam ini antara Korea Selatan dan India untuk mengisi slot terakhir.