Piala Malaysia Berita

Kelantan Gagal Ke Separuh Akhir, Yusri Akur.

Kelantan gagal untuk melangkah lebih jauh dalam kempen Piala Malaysia 2018, apabila gagal mengatasi Sabah di peringkat suku akhir, malam tadi.

Pemangku jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, kekalahan 0-1 kepada Sabah mengakhiri kempen Piala Malaysia 2018 skuad kendaliannya.

“Apa pun, pujian kepada pemain saya dengan tahap kematangan yang terhad namun mereka masih mampu memberi tekanan dan tidak membenarkan Sabah keluar sebagai pemenang dengan selesa.

“Tahniah juga kepada Sabah kerana beraksi cemerlang dan walaupun diberikan sepakan penalti tetapi mereka tunjukkan Stadium Likas sukar bagi mana-mana pasukan luar untuk menang di sini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan.

The Red Warriors tersingkir menerusi peraturan gol di tempat lawan meskipun agregat terikat 2-2.

Sabah berjaya menjaringkan gol apabila Rodoljub Paunovic tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31 sekali gus berjaya mara ke separuh akhir buat pertama kali selepas 11 tahun.

Mengulas lanjut, Yusri mengakui, barisan pemainnya gagal mengikut apa yang telah beliau rancangkan.

Tambahnya lagi, pemainnya gagal menyempurnakan beberapa peluang terbaik dan akhirnya mereka dihukum dengan sepakan penalti tersebut.

“Pada babak pertama, kita cuba mengimbangi permainan dan apabila ketinggalan saya terpaksa letak dua penyerang bagi mencari gol namun pemain hilang fokus dan memberi ruang besar kepada Sabah untuk bertindak.

“Pada masa sama, Sabah mengamalkan corak hantaran jauh dan ia bukanlah strategi yang kita cuba terapkan agar tidak terperangkap dengan rentak permainan mereka di Likas,” katanya.