Piala Malaysia Berita

Perak Ke Separuh Akhir

Perak meneruskan misi mereka selepas layak ke separuh akhir Piala Malaysia 2018, apabila menewaskan PKNS FC 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Wander Luiz, penyerang import dari Brazil muncul sebagai wira apabila meledakkan dua gol untuk mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Malaysia.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, Ipoh, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. Kemenangan ini menyaksikan Perak mara dengan agregat 2-0.

Kemenangan ini juga menafikan ‘badi’ kekalahan skuad Bos Gaurus kepada skuad PKNS FC, sejak beberapa musim ini.

Perak melakukan banyak asakan sejak perlawanan bermula berjaya membuka jaringan pada minit ke-23 hasil daripada rembatan Wander Luiz yang gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol PKNS FC.

Anak buah Mehmet Durakovic hampir menambah jaringan, namun sepakan percuma Leandro Dos Santos sekadar singgah di palang.

Pada minit ke-56, Wander Luiz muncul wira Perak apabila menanduk masuk untuk gol kedua, hasil daripada hantaran Firdaus Saiyadi.

PKNS FC terus malang apabila pemain mereka, Muhammad Jafri Firdaus Chew dilayangkan kad merah setelah mengasari pemain perak, Leandro Dos Santos pada minit ke-78.

Skuad Bos Gaurus akan bertemu Sabah di separuh akhir Piala Malaysia 2018, apabila mereka berjaya menyingkirkan Kelantan.