Malaysia Berita

Projek NFDP diteruskan, tetapi akan distruktur semula

Meskipun gagal memenuhi sasaran layak ke Piala Dunia B-17, Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) akan diteruskan seperti biasa namun berkemungkinan besar akan mengalami penstrukturan semula.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman yang mengakui NFDP bukanlah satu projek akar umbi yang gagal, cuma beberapa perubahan perlu dilakukan selepas empat tahun menggilap bakat pemain muda.

Dalam tempoh empat tahun juga, Syed Saddiq agak kritikal dengan jumlah wang yang diperuntukkan kepada NFDP iaitu sebanyak RM80 juta (walaupun hakikatnya NFDP hanya memperoleh RM24 juta) sejak mula ditubuhkan pada 2014, itupun tidak termasuk pembinaan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang.

“Kita sudah membelanjakan berpuluh juta ringgit tetapi kita masih berada di sini. Jelas perlu ada penstrukturan semula kerana kita tidak berada pada kedudukan yang selesa atau selamat. Banyak yang perlu dilakukan.

“Kita tidak boleh menghentikan NFDP kerana ia adalah program yang bagus. Ia pembangunan akar umbi yang membabitkan seluruh negeri. Namun perlu ada penstrukturan semula dan perbincangan rapi bersama pihak berkepentingan untuk melangkah ke depan,” katanya.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas membabitkan NFDP, Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pihak berkepentingan lain termasuk bakal penaja akan mengadakan pertemuan pada 15 Oktober nanti bagi membincangkan hala tuju NFDP pada masa akan datang.