Malaysia Asia

Khidmat Lim Teong Kim ditamatkan FAM

Ketua Jurulatih Malaysia B-16, Lim Teong Kim telah ditamatkan khidmatnya sebagai jurulatih remaja Malaysia susulan kegagalan melepasi peringkat kumpulan, Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 16 Tahun hari ini.

Hal ini dinyatakan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam satu ‘posting’ di Facebook petang tadi.

“Keputusan dibuat berdasarkan prestasi skuad negara yang tidak melepasi saingan peringkat kumpulan.” katanya.

Pada masa yang sama, Presiden FAM telah mengarahkan supaya ketua jurulatih Malaysia B-16 dipilih dengan segera untuk dibawa ke dalam mesyuarat akan datang.

“Dato’ Hamidin sudahpun mengarahkan Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal memanggil Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM bermesyuarat bersama Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo secepat mungkin untuk membentuk panel pemilihan bagi mencari pengendali baharu skuad B-16 kebangsaan dan cadangan mereka itu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang tampil memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada skuad negara.

“FAM menghargai sokongan penyokong dan kami berharap kelompok pemain ini akan diasuh dan matang untuk dijadikan teras skuad senior dalam masa lima dan enam tahun akan datang.” tambahnya lagi.